SINDIKET REKABLIRASI TENAGA KERJA 2.0 TUMPAS
SINDIKET Rekablirasi 2.0 TUMPAS
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket Program Rekalibrasi 2.0 dalam satu Operasi Khas yang dijalankan pada 14 Februari 2024. Operasi bermula pada jam 10.00 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. Pasukan operasi telah menyerbu sebuah premis di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 31 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan. Semasa ditahan suspek tidak mempunyai Pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM2,000, 188 naskhah pasport Bangladesh, lima naskhah pasport Indonesia, empat naskhah pasport India, empat naskhah pasport Pakistan, empat naskhah pasport Nepal, senaskhah pasport Thailand, pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba.
Modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa. Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti urusan permohonan Program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen. Sindiket ini akan mendaftarkan syarikat bersama warganegara Malaysia bagi mengaut keuntungan dengan memanipulasi Progam RTK 2.0. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap PATI.
Warganegara asing ini ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. Manakala seorang perempuan warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).




Ok
ReplyDelete